Bagaimana hendak mendaftar cap dagangan?
Pendaftaran cap dagangan boleh dibuat kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Pemohon hendaklah mengisi borang yang disediakan oleh pihak perbadanan dan membuat bayaran yang ditetapkan. Pendaftaran juga boleh dibuat menerusi ejen cap dagangan yang berdaftar dengan pihak Perbadanan.
Apakah itu pendaftaran MyIPO?
Ketika ini, ramai yang sudah mempunyai kesedaran untuk mendaftar cap dagangan atau trademark. Istilah yang biasa digunakan orang ramai untuk mendaftar trademark adalah daftar myipo atau mendaftar myipo. Pendaftaran MyIPO jika merujuk kepada pendaftaran logo atau jenama, maka ia adalah merujuk kepada pendaftaran cap dagangan atau trademark. Jadi boleh kita katakan daftar myipo dan daftar trademark adalah perkara yang sama jika merujuk kepada pendaftaran untuk jenama dan logo.
Apa beza tanda TM dan R? Tanda (TM) biasa digunakan untuk menunjukkan sesuatu logo digunakan sebagai cap dagangan bagi sesuatu produk atau perkhidmatan. Tanda ini juga digunakan untuk menunjukkan sesuatu logo dalam proses untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran dari pejabat pendaftar cap dagangan. Tanda (R) pula ialah tanda menunjukkan sesuatu logo atau cap dagangan telah mendapat pendaftaran dari pejabat pendaftar cap dagangan. Untuk menggunakan tanda ini, pemilik logo mestilah telah mendapat sijil pendaftaran daripada pihak pendaftar.
Berapa lama tempoh sah pendafataran?
Setiap pendaftaran sah untuk tempoh 10 tahun dari tarikh permohonan. Setiap pendaftaran boleh diperbaharui setiap 10 tahun selagi mana cap dagangan tersebut masih digunakan.
Adakah pendaftaran trademark wajib?
Jawapannya ialah tidak. Pendaftaran cap dagangan tidaklah menjadi kewajipan sebagaimana pendaftaran syarikat atau perniagaan jika ingin memulakan perniagaan. Namun begitu, pendaftaran cap dagangan bagi produk dan perkhidmatan adalah amat penting bagi mendapatkan hak eksklusif terhadap sesuatu cap dagangan serta mendapat perlindungan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran hak cap dagangan seperti cap dagangan digunakan tanpa kebenaran, cap dagangan ditiru dan sebagainya. Saya sudah daftar SSM,
Kenapa perlu lagi daftar trademark?
Pendaftaran nama syarikat atau perniagaan dengan pihak SSM / Pendaftar Perniagaan tidak membuatkan cap dagangan / logo yang berasaskan nama syarikat berdaftar secara automatik. Ia perlu didaftarkan secara berasingan dengan pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Sebagai contoh, Maxis Communication Bhd telah mendaftarkan cap dagangan Maxis (berasaskan nama syarikat) dengan pihak MyIPO.
Adakah jenama yang ingin didaftarkan mesti mengikut nama SSM / Syarikat?
Tidak, jenama tidak perlu sama dengan pendaftaran SSM atau syarikat. Satu syarikat boleh mendaftarkan beberapa trademark yang berlainan dalam satu masa.
Saya belum lagi mendaftar perniagaan dengan SSM, bolehkah saya mendaftar?
Ya, boleh. Pendaftaran boleh dibuat menggunakan nama individu.
Adakah pendaftaran trademark di Malaysia sah untuk di seluruh dunia?
Tidak, hanya sah untuk di Malaysia sahaja. Jika ingin mendapatkan perlindungan trademark di luar negara, ia perlu didaftarkan secara berasingan di setiap negara. Kami ada menawarkan servis untuk mendaftar di luar negara.
Saya ada jenama dan logo, perlu didaftar berasingan atau boleh disekalikan?
Ya, boleh didaftar sekali jenama dan logo dalam satu permohonan.
Apakah kesan tidak mendaftar cap dagangan?
Dalam sistem pendaftaran cap dagangan, siapa yang mendaftar dahulu akan mendapat hak prioriti terhadap cap dagangan tersebut dan jika anda cuba mendaftar cap dagangan yang sama, permohonan anda sudah pasti akan ditolak oleh pihak pendaftar dan anda perlu membuat hujahan atau rayuan untuk membuktikan bahawa andalah pemilik sebenar cap dagangan tersebut. Jika anda gagal membuktikan bahawa anda adalah pemilik asal cap dagangan tersebut, anda mungkin akan kehilangan hak terhadap jenama tersebut dan terpaksa menukar jenama anda.